Penafian

Blog ini diwujudkan atas inisiatif peribadi Penulis dan tidak boleh dijadikan sumber rasmi bagi sebarang pemberitaan berkaitan program Kembara Mahkota Johor ini. Pihak Penulis tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang penyalahgunaan maklumat atau bahan yang terdapat di dalam blog ini oleh pihak-pihak lain.

Wednesday, June 16, 2010

UTHM dan KMJ


Penglibatan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam penganjuran Kembara Mahkota Johor (KMJ) telah bermula sejak edisi terawal lagi. Mula terlibat secara tidak langsung, kini program KMJ telah dimasukkan sebagai salah satu acara wajib dalam takwim tahunan UTHM.

Sebagai sebuah IPTA yang dinaungi DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar sebagai Canselor, sudah pasti UTHM berasa begitu dekat dan teruja untuk terlibat dalam setiap Edisi KMJ.Seperti tahun terdahulu, Naib Canselor UTHM, Prof Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin (gambar bawah) akan turut serta dalam keseluruhan aktiviti dan venue yang dilawati DYMM Tuanku Canselor UTHM ini.

Saban tahun, unit yang paling aktif terlibat dalam KMJ ini adalah UCiTV (University Campus Interactive TV), satu unit yang ditubuhkan khusus untuk memperkasa aspek pengajaran dan pembelajaran di UTHM melalui kemudahan media interaktif dan ICT terkini.

Pada ketika ini UCiTV memiliki kemudahan dan fasiliti terkini dan canggih terutama dalam membuat liputan audio, video dan foto acara-acara Universiti. UCiTV juga menyediakan kemudahan Video On Demand (VOD) di laman webnya dan boleh dicapai secara kondisif oleh para pelajar dan pelayar dunia maya.

Dari sudut P&P, para pelajar UTHM boleh menayang semula sesi pengajaran / kuliah oleh pensyarah mereka bagi tujuan ulang kaji melalui rakaman sesi kuliah yang dibuat oleh UCiTV ini.

Sila lawati laman web UCiTV di URL berikut http://ucitv2.uthm.edu.my/ver3/ atau klik link button di sebelah atas kanan blog ini.
 

Berbalik kepada penglibatan UTHM di dalam KMJ ini, UCiTV terlibat dalam membuat liputan video dan gambar di sepanjang acara di dalam KMJ kali ini. Dengan kerjasama erat yang diberikan oleh Sekretariat KMJ, UCiTV telah diberi kepercayaan untuk membuat rakan secara eksklusif di dalam Lokomotif Utama di mana DYMM Sultan Johor memandu keretapi.

Dengan kekuatan kira-kira 14 orang petugas, Team UCiTV yang diketuai Tuan Haji Mohd Nor Ihkasan akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan bagi memastikan liputan KMJ dapat dibuat secara menyeluruh di semua lokasi yang di singgahi DYMM Tuanku.

Pada KMJ 2010 ini, UTHM melalui Pusat Teknologi Maklumatnya akan membuka Kiosk Internet di dua stesen utama iaitu di Kluang dan Segamat. Kemudahan kiosk ini membolehkan pihak media dan semua peserta KMJ membuat akses kepada capaian internet secara percuma.

Selain daripada itu pasukan PALAPES UTHM juga akan turut dilibatkan bagi tujuan kawalan keselamatan di waktu malam di stesen-stesen tertentu.

Sesungguhnya penglibatan UTHM dalam setiap edisi KMJ ini merupakan sebahagian daripada manifestasi kecintaan dan penghormatan tinggi warganya terhadap Canselornya Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.
Menjunjung kasih & Daulat Tuanku!

Shafry Salim
Dataran Segamat 9.36am/ 17Jun 2010

No comments:

Post a Comment