Penafian

Blog ini diwujudkan atas inisiatif peribadi Penulis dan tidak boleh dijadikan sumber rasmi bagi sebarang pemberitaan berkaitan program Kembara Mahkota Johor ini. Pihak Penulis tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang penyalahgunaan maklumat atau bahan yang terdapat di dalam blog ini oleh pihak-pihak lain.

Sunday, June 27, 2010

Hari Kedua yang semakin hangat!

Hari kedua bermula dari Stesen Kluang.

Para peserta mula bersarapan di khemah khas berhadapan bangunan stesen. Menariknya, untuk ke khemah tersebut para peserta perlu melompat dan melintasi beberapa rel landasan! jika pada hari biasa sudah pasti situasi seperti ini tidak dibenarkan atas alasan keselamatan.

Kira-kira jam 8.30 pagi keretapi mula meluncur. DYMM meneruskan pemanduan yang cemerlang.

Di atas keretapi, para peserta berpeluang membuat pemeriksaan kesihatan yang dikelolakan pihak PBSM.

Terima kasih kepada Prof. Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin, Naib Canselor UTHM  yang membuat lintasan langsung perkembangan di dalam train dan aktiviti KMJ melalui laman sosial Facebooknya.

Selepas 15 minit, keretapi tiba di Stesen Chamek. Di Chamek DYMM merasmikan Sekolah Agama Chamek serta melancarkan laman web sekolah tersebut yang dibangunkan oleh pihak UTM.

Destinasi seterusnya adalah Stesen Labis. Seperti Stesen lain, di Labis ribuan masyarakat menanti penuh sabar ketibaan DYMM Tuanku dengan keretapinya.20 minit sebelum ketibaan lokomotif Tuanku, ketibaan 2 gerabak lokomotif peninjau telah menggamatkan suasana stesen apabila orang ramai memberikan lambaian dan teriakan kegembiraan dengan menyangka lokomotif tersebutlah yang dinaiki DYMM Tuanku! Situasi sebegini kadangkala perlu juga bagi memeriah dan menyejukkan suasana yang membahang di bawah terik matahari seperti tadi...

Dari Stesen Labis, DYMM Tuanku menaiki motosikal Yamaha klasik diiring lebih 20 motosikal kapcai yang dinaiki persrta rombongan dan pasukan media ke Dewan Orang Ramai Kampung Paya Merah.

Dalam cuaca yang panas terik, DYMM Tuanku tetap ceria melayani rakyat jelata yang sentiasa mengerumuni Tuanku untuk bersalaman mahupun mengambil gambar. Tuanku juga menyaksikan perlawanan futsal dan gasing pangkah.

Setelah makan tengahari, DYMM Tuanku kembali ke stesen dengan menunggang motosikal dan meneruskan pemanduan keretapi ke Stesen Tenang.

Di Tenang DYMM Tuanku sempat meninjau kaedah perubatan alternatif seperti tabib cina.

Seterusnya Keretapi DYMM Tuanku bergerak ke destinasi terakhir untuk hari kedua ini iaitu Stesen Segamat. Sebaik tiba di Stesen Segamat, DYMM Tuanku memandu kereta antik mengelilingi bandar segamat. Turut serta di dalam kereta yang dipandu Tuanku adalah anakanda-anakanda Tuanku iaitu Tengku Temenggong, Tunku Aminah dan Tunku Abu Bakar. Ketua-ketua jabatan yang lain turut dibawa menaiki kereta antik mengiring kereta DYMM Tuanku.

Sebaik tiba di Dataran Segamat, DYMM Tuanku terus bersama-sama masyarakat Segamat dengan pelbagai aktiviti seperti lawatan ke gerai pameran, mengadili pertandingan tarik tali dan sebagainya.

Di sebelah malam, para peserta Kembara diraikan dalam jamuan makan malam di kediaman rasmi Pegawai Daerah Segamat.

Selepas jamuan tersebut, Penulis pergi ke Stesen Keretapi keranan ada urusan yang perlu dibuat di situ. Tanpa disangka, ketika berada di tepi landasan, DYMM Tuanku turun dari koc penginapannya dan bersalaman dengan orang ramai yang berada di situ. Tuanku sempat berbual-bual dengan orang ramai yang bersalam dengannya dan terharu apabila salah seorang dari mereka memberitahu bahawa beliau dan keluarga datang dari Bukit Kepung dan pergi ke stesen tersebut semata-mata dengan harapan dapat menatap DYMM Tuanku. Ketinggian hati budi DYMM Tuanku terserlah apabila dengan rendah diri mengucapkan terima kasih kepada lelaki tersebut kerana sudi datang dari jauh untuk bertemu Tuanku.

DYMM Tuanku sempat melihat salah satu gol dalam perlawanan antara England vs Jerman melalui iPadnya
Dalam sibuk bersalaman dengan orang ramai, DYMM Tuanku sempat melihat paparan perlawanan bolasepak piala dunia di antara England dan Jerman melalui iPadnya.

DYMM Tuanku berjalan ke luar bangunan stesen dan sebaik sahaja melihat terdapat skrin besar sedang menayangkan perlawanan bolasepak antara England dan Jerman di situ, Tuanku terus mengambil keputusan untuk duduk bersama-sama orang ramai untuk menyaksikan perlawanan tersebut. Turut bersama Tuanku adalah YM Tunku Temenggong dan beberapa pegawai Istana.
DYMM Tuanku duduk menyaksikan perlawanan bolasepak di perkarangan Stesen Segamat
Penulis berasa begitu kagum dengan sifat sederhana dan berjiwa rakyat yang ditunjukkan DYMM Tuanku. Tanpa sebarang protokol, DYMM Tuanku mencemar duli duduk di kerusi dan meja yang sama dengan rakyat Tuanku yang lain untuk menyaksikan perlawanan bolasepak secara terbuka di bawah sinaran cahaya bulan! Tiada karpet biru, tiada alas meja biru, tiada air cond dan tiada pengacara majlis! peristiwa ini cukup bersejarah buat Penulis secara peribadi.
Daulat Tuanku!

No comments:

Post a Comment