Penafian

Blog ini diwujudkan atas inisiatif peribadi Penulis dan tidak boleh dijadikan sumber rasmi bagi sebarang pemberitaan berkaitan program Kembara Mahkota Johor ini. Pihak Penulis tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang penyalahgunaan maklumat atau bahan yang terdapat di dalam blog ini oleh pihak-pihak lain.

Friday, June 25, 2010

Bangunan JB Sentral dirasmi, KMJ Dilancar

Tepat jam 8.51 pagi, dengan lafaz penuh mulia BismillahirRahmanirRahim, Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor merasmikan Bangunan JB Sentral dan sekaligus melancarkan Kembara Mahkota Johor 2010.

Dalam titahnya, Tuanku mengimbau peranan Istana Johor sejak dari zaman Maharaja Abu Bakar lagi yang komited dalam pembangunan Tambak Johor dan sistem pengangkutan khususnya keretapi di Negeri Johor. Tuanku turut mengenang tarikh 1 Disember 2008 di mana pada tarikh tersebut Almarhum Ayahanda Tuanku, Almarhum Sultan Iskandar telah merasmikan Bangunan Sultan Iskandar yang terletak berhampiran dengan JB Sentral ini.

Sultan Ibrahim turut memaklumkan bahawa keperihatian Istana Johor terhadap pembangunan sistem pengangkutan moden di Johor dizahirkan dengan pengurniaan 27 ekar tanah istana di Bakar Batu untuk dijadikan tapak pemindahan penduduk Flat Bukit Chagar dan Flat Lumba Kuda yang dirobohkan bagi membolehkan Kompleks Sultan Iskandar dan JB Sentral dibina.

Tuanku Sultan turut mengambil kesempatan menitahkan agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pembinaan Jambatan bagi menggantikan Tambak Johor; satu projek yang tertangguh dan masih dinanti-nantikan rakyat Negeri Johor.

Kerjasama dan bantuan yang diberikan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan turut dihargai DYMM Tuanku dan meminta agar rakyat memberi sokongan kepada kerjaaan yang dipimpin YAB Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Selepas selesai upacara perasmian, DYMM Tuanku, YMM Raja Zarith anakanda-anakanda Tuanku, TPM dan dif-dif jemputan turun ke aras 2 untuk majlis santapan / minum pagi.

Penulis mencoretkan catatan ini dari dalam Fortuner yang akan bergerak ke Stesen Kulaijaya.

No comments:

Post a Comment