Penafian

Blog ini diwujudkan atas inisiatif peribadi Penulis dan tidak boleh dijadikan sumber rasmi bagi sebarang pemberitaan berkaitan program Kembara Mahkota Johor ini. Pihak Penulis tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang penyalahgunaan maklumat atau bahan yang terdapat di dalam blog ini oleh pihak-pihak lain.

Tuesday, June 15, 2010

Salam Kembara

Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera,

Alhamdulillah, kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT, kerana dengan izin dan inayahNya, Kembara Mahkota Johor edisi 2010 bakal menemui kita semua, khususnya rakyat Negeri Johor Darul Ta'zim yang penuh makmur dan damai ini. Tarikh 26 hingga 28 Jun 2010 telah diperkenan sebagai hari-hari bersejarah KMJ pada kali ini.

Blog ini diwujudkan atas inisiatif peribadi sebagai menjunjung kasih ke atas yang dikasihi Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar yang telah berkenan mencemar Duli turun  ke pelusuk Negeri untuk bersama-sama mendekati hal ehwal rakyat jelata di Negeri Johor Darul Ta'zim ini.

Kembara Mahkota Johor 2010 ini amat bersejarah sekali memandangkan Kembara ini buat kali pertamanya diketuai oleh DYMM  Tuanku Sultan Ibrahim semenjak dimasyhurkan sebagai Sultan Johor. Sudah pasti seluruh rakyat di negeri Johor amat ternanti-nanti kemunculan DYMM Tuanku dan para rombongannya di setiap lokasi yang akan dikunjunginya.

Keterujaan rakyat jelata pada setiap Kembara Mahkota Johor adalah pada kenderaan yang digunakan oleh DYMM Tuanku sepanjang perjalanan kembaranya. Pada tahun ini, KMJ mencatat keunikan tersendiri apabila DYMM Tuanku telah memilih lokomotif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sebagai pemacu utama perjalanan.

Ini adalah KMJ pertama DYMM Tuanku akan menggunakan Lokomotif setelah edisi-edisi sebelum ini menampilkan pelbagai jenis kenderaan seperti motosikal, kenderaan 4x4 dan bot.

Bermula dari Stesyen JB Sentral di Johor Bahru, rombongan KMJ akan menjelajah Negeri merentasi semua stesyen KTMB yang terdapat di Johor dan ke Stesyen Gemas Negeri Sembilan untuk membuat "turning" sebelum berpatah balik ke Selatan.

Sebagai Sultan yang terkenal dengan sifat kreatif dan sukakan cabaran, DYMM Sultan Ibrahim akan mempamerkan kebolehan dan kemampuan memandu sendiri lokomotif KTMB ini dan dijangkakan upacara penyerahan lesen memandu lokomotif kepada Tuanku akan diadakan di Stesen Segamat pada hari ketiga Kembara selepas DYMM Tuanku melakukan "Turning" di Gemas.

Sebagai salam perkenalan, penulis dan sudah pastinya seluruh rakyat Johor mendoakan agar Kembara kali ini dilimpahi keselamatan dan kejayaan yang terbaik. Amiin.

Daulat Tuanku!

Shafry Salim
11.13am
Koc VIP, Stesyen JB Sentral Johor Bahru

No comments:

Post a Comment