Penafian

Blog ini diwujudkan atas inisiatif peribadi Penulis dan tidak boleh dijadikan sumber rasmi bagi sebarang pemberitaan berkaitan program Kembara Mahkota Johor ini. Pihak Penulis tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang penyalahgunaan maklumat atau bahan yang terdapat di dalam blog ini oleh pihak-pihak lain.

Thursday, June 17, 2010

Keretapi dan Sejarah

Dua hari yang panjang bersama keretapi KTMB memberi perspektif baru kepada Penulis tentang keretapi di Malaysia.

Penulis bukanlah pakar sejarah, tetapi ketika di bangku sekolah subjek Sejarah agak diminati Penulis. Dalam subjek Sejarah, kita dimaklumkan betapa signifikannya keretapi dengan sejarah pembangunan ekonomi dan sosial di Malaysia. Manakan tidak, keretapi menjadi pengangkutan utama bukan sahaja untuk mengangkut manusia malah sebagai pengangkut utama hasil bumi serta pertanian seperti bijih timah dan getah.

Kesempatan berhenti di stesen-stesen keretapi di Johor telah mengimbau kembali fakta yang diajarkan oleh subjek sejarah berkenaan kepentingan keretapi dalam sejarah dan pembangunan Malaysia.Hampir kesemua pekan atau bandar yang mempunyai hentian/stesen keretapi adalah merupakan penempatan yang lanjut usianya dan kewujudannya dapat dibuktikan dalam peta lama Negara. Sebagai contoh pekan Bekok, Paloh, Chamek dan Tenang, pekan-pekan kecil ini sememangnya tidak terkenal dan jarang dilawati jika kita tiada hajat yang khusus. Namun pekan-pekan ini sebenarnya telah lebih dahulu menempatkan diri mereka dalam peta Malaysia lama / Tanah Melayu hanya kerana pekan-pekan ini mempunyai stesen/hentian keretapi.

Semasa turun berhenti di Stesen Rengam, penulis dapat melihat beberapa deret bangunan lama yang masih tersergam dan masih digunakan bagi tujuan perniagaan. Di bahagian atas bangunan-bangunan ini tercatat tahun ianya dibina. Jelas, bangunan-bangunan ini telah dibina sejak sebelum merdeka lagi.

Di Bekok, Penulis begitu kagum dengan deretan rumah kedai klasik yang masih teguh berdiri. Sebahagian rumah kedai di situ dibuat daripada kayu sepenuhnya. Ada yang telah runtuh dan sebahagiannya masih kekal digunakan.Pekan berdekatan stesen ini kelihatan "mati" kerana tiada tanda-tanda pembangunan baru akan dibina di situ.

Penulis sempat berbual di atas landasan keretapi bersama Ketua Operasi KTMB Wilayah Selatan En Tariq Omar semasa kami berhenti di Stesen Bekok. Beliau menceritakan perihal besi rel landasan yang kami sedang pijak. Penulis ditunjukkan kepada tulisan yang terdapat pada paku yang memasak kayu landasan di situ. Setelah diteliti Penulis mendapati, terdapat ukiran tertulis tahun 1956 pada paku tersebut, dan En Tariq menyatakan bahawa tahun tersebut menunjukkan tahun landasan itu dibina! Malangnya ramai juga "usahawan-usahawan" besi yang menjadikan paku-paku ini sebagai barang dagangan mereka!


Nota: Penulis juga berkesempatan berbicara panjang dengan seorang staf veteran KTMB. Beliau pernah 17 tahun berkhidmat di Stesen Tanjung Pagar Singapura yang pada ketika ini telahpun berpindah milik kepada Singapura!. Insya Allah jika diizinkan, Penulis akan kongsikan cerita dan luahan rasa penuh emosi staf ini apabila berita pedih kehilangan stesen ini menjadi kenyataan baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment